SETIAP ISTERI TEMPATNYA DI SISI SUAMI. BIAR SEBURUK MANA PUN SIKAPNYA, DIALAH PASANGAN YANG KITA PILIH UNTUK HIDUP BERSAMA HINGGA KE HUJUNG NYAWA. OLEH ITU SEBOLEHNYA PARA ISTERI INI LAKUKAN YANG TERBAIK BUAT SUAMI. DI PERINGKAT AWAL MUNGKIN BANYAK PERKARA YANG TIDAK MENEPATI CITARASA, TETAPI IA CUBA DIPERBAIKI DARI SEMASA KE SEMASA. BOLEH DIKATAKAN, KEBANYAKAN ISTERI SENTIASA MENCARI ILMU-ILMU YANG BERMANFAAT UNTUK DITERAPKAN DALAM KELUARGANYA. SAMA ADA FORMAL ATAU TIDAK FORMAL, WANITA-WANITA BERGELAR ISTERI DAN IBU INI TIDAK PERNAH LELAH BERUSAHA UNTUK MENAMBAT HATI INSAN-INSAN KESAYANGANYA.
Apabila berbicara perihal pemantapan keluarga, ada ketikanya isteri-isteri ini terlepas pandang sehingga menggugat sedikit sebanyak kecintaan suami, semuanya gara-gara sikap isteri itu sendiri kerana ada diantaranya sudah sebati dalam diri. Mungkin ia dikira sesuatu yang remeh, tetapi bagi suami pula sebaliknya. Secara tidak langsung, perkara sebeginilah yang boleh mengganggu-gugat keharmonian sesebuah rumah tangga. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah sikap-sikap yang menimbulkan kemarahan dan kebosanan para suami di luar sana.
Jawapanya ada di bawah :
Ambil masa yang lama untuk berdandan.
Boleh dikatakan rata-rata suami mudah bosan apabila menunggu isteri bersiap atau berdandan hanya untuk keluar membeli-belah di pasaraya berdekatan. Jangan tidak percaya, memang ada wanita yang bersikap demikian kerana bagi mereka kecantikan adalah perkara yang perlu dititikberatkan. Hal sebegini benar-benar membuatkan suami pening kepala. Mengapa perlu masa yang terlalu lama diambil untuk satu-satu kerja.? Biarpun nampak kecil di mata isteri tetapi jika dalam seminggu dua tiga kali suami mengajak keluar dan anda masih dengan cara yang sama maka tidak hairanlah selepas ini pelawaan untuk keluar bersama tiada. Jangan menyesal.
Sensitif bila dilebel mata keranjang.
Senario biasa di pusat membeli-belah. Para isteri pasti terancap matanya ke arah iklan jualan murah sementara suami lebih gemar mengambil masa sendiri untuk melakukan aktiviti yang digemari. Bagaimanapun , ada segelintir isteri beranggapan suaminya 'meliarkan pandangan' ke arah wanita lain sedangkan ia tidak berlaku. 'Gatal', pasti itu respons pertama yang diberi oleh isteri tetapi apa yang tersirat di hati suami tidak pula diketahui. Memang, fitrah lelaki yang mudah tertarik kepada wanita tetapi itu tidak bermakna mereka menaruh hati untuk menambah 'cawangan baru'. Hakikatnya, mereka tidak suka dilempar tuduhan yang melulu, lebih-lebih lagi berbaur cemburu. Maklum sajalah, ego mereka cukup tinggi walaupun ada kebenaran tetapi sebaiknya simpan sajalah prasangka sebelum ada bukti-bukti yang nyata.
Mengeluh tiada baju yang sesuai.
Sedar atau tidak, anda sebenarnya telah membuatkan suami marah apabila mengeluh tak cukup baju. Sedangkan, bila dibelek di dalam almari, koleksi baju tersusun rapi di penyangkut. Bukan sedikit-sedikit jumlahnya tetapi masih berani mengaku tiada baju yang boleh dipakai lagi. Kata-kata begini mungkin normal bagi isteri, tetapi menyakitkan hati suami, sudahlah lambat berdandan, lambat pula memilih pakaian. Jadi, usah terkejut apabila suami hilang kesabaran dengan menghamburkan kata-kata yang kurang enak didengar.
Salah pilih topik untuk bercerita.
Sedarlah bahawa lelaki dan wanita jauh berbeza. Baik daripada segi pemikiran, perbuatan, minat, sikap dan macam-macam lagi, semuanya tak sama. Jika wanita gemar bercerita mengenai cara untuk mantabkan hubungan rumah tangga tetapi suami pula sebaliknya. Boleh bercerita tetapi janganlah ambil masa yang lama. Ini tidak, terus menerus bercakap daripada hal pengurusa rumah sampailah keperluan anak-anak. Habis dikeluarkan pada satu-satu masa. Ketahuilah bahawa suami mudah bosan apabila diajak berbual tentang satu topik yang berat pada tempoh yang panjang. Meraka sebenarnya mengidamkan topik-topik romantis dan bukanya cerita-cerita yang memeningkan kepala. Kalau sekali dua mungkin ada maafnya, ini tidak. setiap kali bersua pasti itulah jadi bahan utama. Tidak mustahil sekiranya ia berlarutan boleh mencetuskan perbalahan. Untuk itu berwaspadalah dengan apa yang anda katakan.
Komen tentang berat badan suami.
Pasti anda pernah mengkritik berat badan suami. Kata-kata yang anda fikirkan tidak apa-apa rupa-rupanya mengguris perasaanya. Silap hari bulan boleh mencetuskan perbalahan. Ketahuilah berdiet dan melakukan senaman adalah perkara yang kurang gemar dilakukan oleh segelintir lelaki. Maka tidak hairanlah apabila perut mereka buncit dan berat badan bertambah. Cuba bayangkan jika kata-kata yang sama ditujukan kepada anda. Apa perasaanya? Begitu jugalah dengan mereka. Maka jalan yang paling baik adalah dengan memberi nasihat ketika dia dalam keadaan yang tenang. Dalam masa yang sama, sediakan menu-menu sihat yang bukan dikhaskan untuk dirinya sahaja tetapi semua ahli keluarga.
~Semarak Jengka~